KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam keadaan siap sedia dan meningkatkan kawalan serta pemantauan keselamatan di seluruh negara berikutan serangan bom di Jakarta, Indonesia, pagi Khamis. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata PDRM sememangnya sudah menempatkan pegawai dan anggota di kawasan yang dirasakan berisiko sejak beberapa insiden letupan yang berlaku sebelum ini. Katanya, susulan kejadian di negara jiran itu, kawalan dan pemantauan keselamatan akan ditingkatkan lagi. "Tumpuan kawalan kita adalah di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pusat membeli-belah dan kawasan pelancongan. "Malah, penguatkuasaan di kawasan pintu masuk dan keluar sempadan juga ditingkatkan sebagai satu usaha mengekang sebarang cubaan serangan dan jenayah lain," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.