KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan tragedi melibatkan dua pelajar perempuan sekolah menengah pada Khamis sebagai 'malang' dan mahu pesalah tersebut menerima hukuman berat. "Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Insiden ini sepatutnya tidak berlaku," katanya kepada The Star. Liow berkata kenderaan perdagangan terutamanya lori dipantau ketat oleh kementerian tersebut. Katanya, beliau menyedari dakwaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut adalah 'lori hantu'. "Saya mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan untuk membantu siasatan polis. Kebenaran perlu dirungkai secepat mungkin," katanya. Liow menegaskan kemalangan jalan raya merupakan isu serius di negara ini dan kementerian sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan kadar kemalangan maut. Terdahulu, dilaporkan seramai 19 hingga 20 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Malaysia setiap hari. Kira-kira 60 peratus daripada kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal.