GENTING HIGHLANDS: Kementerian Pertahanan akan mengenal pasti lokasi tertentu termasuk di Sabah yang berpotensi dijadikan lokasi serangan pihak tidak bertanggungjawab. Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu dibuat susulan insiden letupan bom di Jakarta, Indonesia semalam. "Ia juga sebagai langkah memperkukuh keselamatan negara dan ketenteraman awam agar insiden sedemikian tidak berlaku di Malaysia. "Ini kerana, ancaman kita yang terdekat ialah di Sabah di mana kita perlu berwaspada dengan setiap serangan anasir luar dan perlu ditangani secara serius," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Hala Tuju Kementerian Pertahanan 2016 di sini, Jumaat. Hishammuddin berkata insiden letupan di Jakarta adalah serius dan Malaysia tidak harus mengambil mudah tentangnya kerana kumpulan Daesh tidak pernah melakukan tindakan di rantau ini. "Kejadian di Jakarta membuktikan kebimbangan kita yang saya sebutkan secara konsisten selama ini. Kita akan perkukuhkan kawalan dengan kerjasama semua agensi keselamatan, katanya. Hishammuddin berkata beliau turut menghubungi Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu untuk bertanyakan perkembangan insiden itu. "Saya akan ke Arab Saudi bersama Pak Ryamizard dalam masa terdekat untuk membincangkan agenda bagaimana negara sana (Arab Saudi) menangani keganasan Daesh dan belajar daripada pengalaman mereka," katanya. Selain itu, Kementerian Pertahanan juga mengambil inisiatif membendung perkara itu dengan bekerjasama rapat dengan polis, pasukan risik ketenteraan dan Cawangan Khas bagi menjamin keselamatan negara. Dalam kejadian di pusat bandar Jakarta semalam, tujuh orang disahkan maut dan 13 lagi termasuk lima anggota polis parah.-- Bernama