suria

Siapa Tanggal Papan Iklan #BebasAnwar?

Papan iklan #BebasAnwar yang baru sahaja dipasang awal minggu ini (atas) tiba-tiba lenyap pada Khamis.

PETALING JAYA: Papan iklan gergasi #BebasAnwar yang menarik perhatian orang ramai di kawasan Selayang sejak dipasang awal minggu ini tiba-tiba lenyap dari pandangan.

Menerusi tinjauan mStar Online mendapati billboard yang baru dipasang Ahli Parlimen Selayang, William Leong itu telah ditanggalkan.

William ketika dihubungi berkata, beliau maklum mengenai perkara itu selepas diberitahu orang ramai melalui pembantu peribadinya.

Bagaimanapun, timbul persoalan apabila William mendakwa  kerja-kerja menanggal papan iklan itu tidak dilakukan pihaknya, malahan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) juga menolak ia perbuatan mereka.

Menurut sumber, billboard itu ditanggalkan kerana ia sebenarnya dipasang tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan PBT.

mStar Online juga difahamkan, disebabkan ia menimbulkan rasa curiga dan kurang senang di kalangan masyarakat setempat serta menerima kritikan, papan iklan itu ditanggalkan.

Ini bertentangan dengan kenyataan William sebelum ini yang mendakwa bahawa papan iklan itu dipacakkan setelah mendapat lesen MPS.

“Saya dengar ada orang sudah cabut (billboard) itu. Ia bukan sesuatu yang menghairankan, saya sudah jangka perkara seperti ini.

“Ia bukan isu lesen. Apa yang berlaku menunjukkan kita sudah jauh dari matlamat sebenar untuk mewujudkan demokrasi matang di negara ini,” katanya.

William berkata beliau sudah membuat pemeriksaan dengan MPS sama ada mereka telah bertindak menanggalkan papan iklan yang berada di bawah tanggungjawabnya itu.

“Kita sudah periksa, bukan MPS yang turunkannya. Siapa buat saya tak tahu, tapi bukan MPS,” katanya.

Ditanya jika apakah mungkin ia dilakukan parti politik lain, William mengambil pendirian untuk tidak menuding jari kepada sesiapa.

“Saya tak kata. Tak baik, tak boleh cakap (tuduh) sebab saya tak tahu siapa yang lakukannya.

“Sebenarnya siapa yang turunkan billboard itu saya anggap mereka masih tak faham apa itu demokrasi,” katanya.

William berkata beliau tidak mempertimbangkan untuk membuat laporan atau mengambil sebarang tindakan terhadap pihak yang melakukannya dan pada masa sama berhasrat untuk menaikkan billboard seperti itu sekali lagi.

“Kita akan pasang balik, tapi saya tak boleh nyatakan bila. Ia akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Dalam pada itu MPS ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara ini enggan memberi komen.

“Tiada komen, cuma ia bukan kerja (tanggalkan billboard) MPS,” jawab seorang pegawainya sambil meminta nama dan jawatannya dirahsiakan.



#BebasAnwar, Selayang, MPS, William Leong

Artikel Berikut

Artikel Lain