suria

Ramai Rakyat Malaysia Sertai Katibah - Sumber Perisikan

Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (K9) melakukan pemantauan di beberapa lokasi di ibu negara.

KUALA LUMPUR: Penglibatan rakyat Malaysia dalam Katibah Nusantara, sebuah sel baharu yang ada kaitan dengan kumpulan miltan IS, meletakkan polis Malaysia dalam keadaan kesiapsiagaan tahap tertinggi.

Sumber perisikan telah mengenal pasti lebih 200 pejuang dari Indonesia dan Malaysia yang menyertai sel tersebut.

"Sel serpihan kumpulan pengganas ini mula dikenali dalam hierarki IS.

"Selain dipilih untuk melakukan tugas kecil seperti kerja pembersihan, pejuang Katibah amat dikehendaki untuk menyertai 'misi khas' termasuk sebagai penembak tepat dan pengebom berani mati," kata sumber kepada The Star pada Sabtu.

Katibah pernah berada di bawah pemantauan agensi perisikan dua tahun lalu ketika ia dikenali sebagai Majmu’ah al Arkhabiliy.

Sel tersebut yang ditubuhkan dengan 100 anggota berpangkalan di Raqqa, Syria, beroperasi dengan model yang ditetapkan semasa perang di Afghanistan.

"Pejuang Malaysia dan Indonesia ditempatkan di dalam sebuah kompleks pangsapuri bersama keluarga mereka.

"Memandangkan ia semasa perang di Afghanistan, militan dari Malaysia, Indoensia dan ada kalanya dari Singapura berkumpul bersama-sama untuk membentuk kelompok dari Asia Tenggara kerana bercakap dalam bahasa yang sama," kata sumber itu.

Pejuang Katibah cuba membina kawasan perkhemahan mereka 'dekat dengan rumah'.

"Mereka berpangkalan di Raqqa yang menggambarkan mini Malaysia atau Indonesia. Bukan sahaja mereka bercakap bahasa yang sama tetapi mereka boleh memasak hidangan yang sama," kata sumber lain yang memahami selok-belok operasi kumpulan tersebut.

Anggota yang baharu tiba di Syria kebiasaannya akan diberi latihan senjata selama sebulan.

"Jika mereka datang bersama keluarga, keluarga mereka akan ditempatkan di sebuah pangsapuri manakala golongan lelaki akan menjalani latihan ketenteraan," kata sumber itu lagi.

Menurut kajian yang dilakukan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang, Katibah memperluaskan operasi merekrut anggota baharu menerusi video dan risalah yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu.

"Kempen itu kini mencapai matlamat terbaharu dengan menggunakan kanak-kanak di Indonesia dan Malaysia untuk menyebarkan propaganda IS terutamanya di laman media sosial.

“Katibah Nusantara mungkin mendapat kepentingan dalam matlamat strategik IS untuk mewujudkan jawatan khalifah di seluruh dunia," demikian menurut kajian itu.

Ia turut menunjukkan pejuang yang bertutur dalam Bahasa Melayu juga disatukan atas beberapa sebab.

Ini termasuk beberapa fakta bahawa mereka adalah dari Asia Tenggara, kediaman kepada sebilangan besar penduduk Islam Sunni di dunia.

Kira-kira 30 kumpulan militan di rantau ini sudah mengangkat sumpah setia kepada IS.

Pakar perisikan memberi amaran bahawa anggota militan yang kembali ke negara masing-masing memainkan peranan penting dalam memperluaskan operasi dan melancarkan serangan, serupa dengan insiden yang berlaku di Jakarta, Khamis lalu.

"Pihak berkuasa kini lebih berwaspada dan memantau anggota militan yang pulang ke negara masing-masing.

"Anggota militan yang berpengalaman kembali pulang berbekalkan pengalaman dalam pertempuran dan kepakaran mereka akan dieksploitasi sepenuhnya oleh IS," kata sumber perisikan.

Menurut sumber, kepakaran pejuang yang berpengalaman dan anggota baharu direkrut selain simpati memberi ancaman lebih berbahaya kepada rantau ini.

Dalang kepada ancaman tersebut adalah bekas pensyarah Universiti Malaya, Dr Mahmud Ahmad.

Dr Mahmud dilaporkan dalam senarai individu dikehendaki kerana penglibatan dalam IS yang merancang untuk menyatukan sel pengganas yang berbeza di Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Ia termasuk menggabungkan kumpulan Abu Sayyaf dan beberapa kumpulan lain di rantau ini secara rasmi untuk membentuk cabang IS di Asia Tenggara.


IS, Katibah Nusantara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain