suria

BN Akan Terima Lebih Banyak 'Peluru' Pada 2016 - Pakatan Harapan

Anthony Loke.

KUALA LUMPUR: Lebih banyak perancangan yang telah dan sedang dirangka dalam usaha Pakatan Harapan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Putrajaya.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, ketiga-tiga parti itu kini sedang berada dalam fasa sangat penting iaitu mewujudkan dasar yang dapat meyakinkan rakyat selepas menduduki Putrajaya.

"Kita yakin dengan adanya dasar bersama ini akan memberikan momentum besar kepada kita untuk mencabar BN/Umno.

"Kepada BN dan Umno yang ingat selepas mereka hancurkan Pakatan Rakyat mereka tak ada persaingan, mereka silap kerana Pakatan Harapan akan kekal dan mempunyai komitmen untuk mencabar dan melawan mereka," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Harapan di sini, Isnin.

Loke berkata, gabungan tiga parti itu sudah mempunyai asas melalui hubungan terdahulu dan ia akan diperkukuhkan dengan lebih banyak perancangan dari segi dasar yang disusun.

"Lebih banyak yang kita akan buat, lebih banyak peluru akan digunakan untuk ditujukan kepada BN sepanjang dua tahun ini dan sehingga sampai ke kemuncaknya iaitu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

"Ini (dasar) sangat penting bukan sahaja di atas kertas tetapi sebagai komitmen tiga parti kepada rakyat Malaysia bahawa ini akan dilaksanakan selepas kita mengambil alih tampuk pemerintahan Putrajaya selepas PRU-14," katanya.

Beliau berkata, pakatan itu mempunyai masa antara 18 hingga 24 bulan untuk membina satu momentum besar menjelang PRU-14.

"Kita sudah masuk 2016, kita jangkakan PRU akan diadakan paling lewat pada 2018 atau pertengahan 2017.

"Kita beri kerangka masa untuk kita sendiri untuk membina momentum besar ini," katanya.

Pakatan Harapan, Anthony Loke

Artikel Lain