suria

Laporan Syor Dakwa Najib Tidak Benar - SPRM

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa ia telah mengemukakan 37 syor untuk pendakwaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung siasatan berkaitan SRC International.

"Kami ingin menjelaskan bahawa laporan yang mengatakan 37 syor untuk pendakwaan yang dibuat SPRM terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak benar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

SPRM turut mengesahkan Jabatan Peguam Negara telah mengembalikan kertas siasatan mengenai SRC International dan derma politik RM2.6 bilion kepada suruhanjaya itu.

SPRM berkata, ia akan mengambil perhatian terhadap arahan yang diberikan.

"SPRM mengambil perhatian terhadap arahan yang dibuat oleh Jabatan Peguam Negara, yang meminta penjelasan lanjut terhadap beberapa syor dan tindakan oleh SPRM.

"Maklum balas SPRM akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara secepat mungkin," katanya.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, pejabatnya telah meneliti dan mengkaji kertas-kertas tersebut yang telah
dikemukakan SPRM pada 31 Disember tahun lepas.

"Setelah meneliti keseluruhan keterangan di dalam kertas-kertas siasatan itu, pejabat ini hari ini mengembalikan kertas-kertas siasatan tersebut untuk mendapatkan penjelasan daripada SPRM mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang disyorkannya," katanya.



SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Lain