SUNGAI BULOH: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyampaikan sumbangan lebih RM100,000 untuk memenuhi keperluan wad pediatrik di empat hospital di sekitar Lembah Klang. Hospital terlibat adalah Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Hospital Kuala Lumpur. Timbalan Ketua Eksekutif Sokongan Korporat BSN, Frederick Siew Kin Meng berkata, dana terkumpul itu diraih ketika penganjuran program "BSN Putrajaya Night Marathon (BSN PNM)” melalui larian korporat sejauh 10 kilometer, 24 Oktober tahun lalu. "Walaupun acara itu dibatalkan atas kekangan keadaan jerebu yang tebal di sekitar lokasi di Putrajaya. “Program BSN PNM dianjurkan sejak 2011 dan mendapat sambutan lebih 12,000 peserta seluruh dunia setiap tahun. Ia antara inisiatif daripada tanggungjawab sosial korporat BSN berkolaborasi dengan badan Korporat lain untuk menyumbang dan pada masa yang sama menyertai marathon”, katanya. Majlis penyerahan replika cek diadakan di Auditorium Hospital Sungai Buloh, Selangor, Selasa. Katanya, walaupun penganjuran BSN PNM 2015 dibatalkan tahun lalu, namun sambutan yang diterima adalah menggalakkan pada hari kutipan "Race Kit" yang diadakan selama empat jam sehingga jam 10 malam pada hari sama. Beliau berkata, pelbagai aktiviti turut diadakan bagi menarik perhatian pengunjung di Dataran Istana Kehakiman, Presint 3, Putrajaya. Jelasnya, menerusi janji jenama baharu “Menggapai kehidupan yang lebih baik”, BSN komited untuk terus mencari pelbagai platform mengembangkan inisiatif ini bagi membantu golongan yang memerlukan. Malah, katanya, BSN turut berharap sumbangan itu dapat membantu meringankan beban pesakit bagi mendapatkan rawatan perubatan yang berkaitan dan memberi peluang kepada mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat. Sebelum ini, sejumlah RM100,000 dikumpulkan setiap tahun menerusi penyertaan sektor korporat dan telah diagihkan kepada Persatuan Dyslexia Malaysia, Institusi Jantung Negara, Persatuan Glaucoma Malaysia dan Women's Aid Organisation (WAO).