LANGKAWI: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengarahkan pembekuan lesen mengeksport ikan selain bersedia melambakkan ikan sejuk beku bagi menstabilkan harga sumber protein itu di pasaran negara. Pengerusi LKIM Datuk Irmohizam Ibrahim berkata pembekuan lesen eksport itu melibatkan hasil tangkapan yang dikategorikan sebagai 'ikan rakyat', antaranya kembong, pelaling dan cencaru. Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengerusi-pengerusi persatuan nelayan tempatan di sini, Selasa, beliau berkata Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) juga meningkatkan stok simpanan ikan sejuk bekunya yang kini mencecah 200 tan metrik. "Sekiranya berlaku kekurangan di pasaran, saya meminta Nekmat melambakkan ikan daripada stok tersebut supaya kita boleh menstabilkan harga dan memasarkannya di pasar tani dan pasar nelayan, sekali gus menjadikan pasar-pasar ini sebagai tumpuan rakyat," katanya. Beliau berkata langkah-langkah itu dibuat ekoran jangkaan LKIM berhubung kesan fenomena El Nino terhadap hasil tangkapan ikan dan peningkatan permintaan khususnya semasa musim perayaan Tahun Baru Cina. Selain Nekmat, Irmohizam berkata LKIM juga akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memantau harga dan bekalan ikan di pasaran serta mengambil langkah-langkah tambahan lain untuk menstabilkan harga sumber makanan itu. Beliau berkata pendekatan itu dijangka dapat mengekang kegiatan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menimbulkan spekulasi sehingga menyebabkan harga ikan melambung. "Setidak-tidaknya, ini boleh memastikan tidak akan berlakunya sebarang bentuk spekulasi dan permainan komoditi sehingga menjejaskan, terutama sekali harapan rakyat untuk melihat harga ikan stabil," katanya.-- Bernama