PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas yang berlaku di Ougadougou, Burkina Faso yang meragut 28 nyawa dan mencederakan 56 yang lain pada Jumaat lepas. Kementerian Luar Negeri menerusi kenyataan yang dikeluarkan turut merakamkan ucapan simpati dan takziah kepada Kerajaan dan rakyat Republik Burkina Faso. "Juga takziah kepada keluarga mangsa dan mereka yang terlibat di dalam serangan tersebut," menurut kenyataan itu. Selain itu, Wisma Putra juga memaklumkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan komuniti antarabangsa dalam memerangi keganasan. Laporan menyebut, insiden serangan di sebuah hotel di tengah bandar itu dikatakan dilakukan oleh sekurang-kurangnya enam suspek anggota militan.