suria

Pengayuh Basikal Warga Emas Mahu Sempurnakan Misi Kayuhan

Pengayuh basikal solo warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 71, diberi kata-kata semangat oleh ibunya Che Hasnah Ahmad, 84, (tiga, kiri) dan isterinya Faridah Daud, 64, (dua, kanan) sebelum memulakan pusingan ketiga misi kayuhan solo di Semenanjung Malaysia, Singapura dan Thailand di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan, Selasa. -fotoBERNAMA
KOTA BAHARU: Pengalaman dalam dua pusingan penjelajahan mengelilingi Semenanjung Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand sejak 26 November lepas, menjadi kunci kekuatan bagi seorang pengayuh basikal warga emas menyempurnakan pusingan terakhir daripada tiga pusingan yang bermula hari ini.

Teruja untuk meneruskan pusingan akhir itu, Wan Hashim Wan Mahmood, 71, berkata beliau yakin mampu menyempurnakan misi itu dalam tempoh lebih singkat berbanding 30 hari seperti dijadualkan.

"Berdasarkan pengalaman sebelum ini, saya jangkakan mampu menyempurnakan kayuhan dalam tempoh lebih awal antara 22 dan 24 hari," katanya kepada Bernama pada majlis pelepasan kayuhannya di perkarangan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) di sini Selasa, yang disempurnakan Presiden Persatuan Berbasikal Daerah Kota Baharu Ahmad Adha Amir.

Wan Hashim memulakan misi berbasikal secara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand sebanyak tiga pusingan secara berturut-turut pada 26 November tahun lepas.

Misi kayuhan tiga pusingan itu membabitkan jarak 8,000 kilometer bermula di Kota Baharu, kemudian ke Singapura sebelum ke Selatan Thailand dan kembali ke Kota Baharu.

Wan Hashim berkata beliau telah melakukan persiapan sebaik mungkin dari segi mental dan fizikal untuk berdepan cuaca panas dalam kayuhan kali ini.

"Untuk pusingan akhir ini, saya akan meningkatkan pengambilan air kosong untuk mengelak dehidrasi atau keletihan selain mengekalkan menu rutin seperti buah-buahan," kata anak sulong daripada 12 beradik itu.

Katanya untuk misi kali ini, beliau akan menggunakan basikal baharu sumbangan sebuah syarikat dari ibu negara yang diubah suai dengan daya kelajuan lebih tinggi sesuai untuk kayuhan di kawasan berbukit, selain tayarnya yang tahan kepada permukaan kering dan basah.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Wan Hashim berkata beliau akan terus mencuba mencipta rekod dengan memilih Eropah sebagai destinasi kayuhannya.

"Saya akan cuba mendapatkan tajaan dan mengalu-alukan tajaan semua pihak bagi menampung kos yang mungkin mencecah sehingga RM30,000," katanya.

Artikel Lain