PETALING JAYA: Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijangka mengeluarkan kenyataan susulan dakwaan gagal melaksanakan tugas selaku Menteri Besar dan Pengerusi Umno negeri itu. Difahamkan, ketika ini, anak lelaki Tun Dr Mahathir Mohamad itu sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin parti berhubung kenyataan terbuka Umno Kedah terhadapnya pada petang Rabu. Setiausaha Akhbar Mukhriz, Mohd Fisol Jaafar berkata, pihaknya masih menunggu arahan lanjut menteri besar berkaitan kenyataannya. "Semua media akan dimaklumkan sebaik mendapat pengesahan berkaitannya," katanya menerusi aplikasi WhatApp di sini, Rabu. Malahan, kumpulan penyokong Mukhriz itu menganjurkan perhimpunan di Bangunan Tunku Alor Setar, Kedah bagi menyokong kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam itu. Terdahulu pada petang Rabu, barisan kepimpinan Umno Kedah secara terbuka tampil menyatakan pendirian hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz sejak memimpin negeri itu pada 2013. Menerusi sidang media yang diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Alor Setar, mereka menggesa campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kata Ahmad Bashah, seluruh kepimpinan Umno Kedah merayu Najib membuat perubahan segera terhadap kepimpinan tertinggi parti negeri dan jawatan Menteri Besar Kedah. "Seluruh pimpinan dan wakil rakyat Uumno Kedah berhimpun untuk menyatakan bahawa kami hilang kepercayaan ke atas kepimpinan Datuk Seri Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah. "Beliau gagal untuk menyatupadukan Umno dan jentera parti di semua peringkat, selain tiada sebarang perancangan strategik untuk menghadapi PRU ke-14," katanya. Antara yang hadir pada sidang media itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai); Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd Johari Baharom (Kubang Pasu) dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Azeez Abdul Rahim dan Datuk Md Rozai Safian (Pendang). Sidang media itu turut dihadiri kepimpimpinan sayap negeri iaitu Ketua Pemuda, Datuk Shaiful Hazizy Zainal Abidin; Ketua Wanita, Datuk Maznah Abd Hamid dan Ketua Puteri, Datin Norhashimah Md Nowar.