KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semula bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk prosiding Pengurusan Kawalan Tadbir Urus 1MDB akan datang. Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata, turut akan dipanggil bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Bakke Salleh kerana banyak lagi perkara yang perlu diteliti secara mendalam sebelum PAC dapat kemuka laporan lengkap untuk dibentangkan di Parlimen. "Oleh kerana ada perkara yang kita perlu teliti lagi, kita akan panggil semula Datuk Shahrol dan Tan Sri Bakke," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, Rabu selepas PAC selesai prosiding dengan Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin. Shahrol pernah hadir prosiding pada 25 dan 30 November tahun lalu manakala Bakke dipanggil untuk kali pertama. "Dengan prosiding dua orang ini (Shahrol dan Bakke) kita boleh buat rumusan dan tidak akan memanggil sesiapa lagi selepas ini," katanya. Hasan berkata, pihaknya masih lagi belum dapat menetapkan tarikh prosiding seterusnya kerana ia bergantung dengan jadual Parlimen. Ditanya adakah laporan prosiding akan dapat disiapkan sebelum Mac, Hasan berkata pihaknya akan cuba untuk menghabiskan prosiding tersebut sebelum Mac ini. "Kita harap ... nampaknya prosiding akan diteruskan, saya bimbang kita tidak boleh selesai bulan Mac, kita cuba sedaya upaya selesai pada Mac," katanya. Beliau berkata laporan tersebut tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk media sosial dalam dan luar negara kerana laporan PAC adalah berasaskan kepada data yang dikeluarkan Ketua Audit Negara dan melalui prosiding tersebut. Sementara itu Lodin ketika ditemui yakin Prosiding Pengurusan Kawalan Tadbir Urus 1MDB sudah hampir ke penghujung. Beliau berkata soalan yang diajukan oleh PAC hari ini agak mencabar namun beliau telah memberikan kerjasama yang baik kepada mereka. "Soalan ok, mereka bertanya soalan-soalan yang sukar, saya fikir siasatan ini akan sampai ke penghujung," katanya enggan mengulas lanjut selepas meninggalkan bilik mesyuarat PAC di Parlimen kira-kira pukul 1.10 tengah hari ini. Ditanya adakah PAC berpuas hati dengan keterangannya, katanya "Saya fikir ya, saya tidak boleh ulas kerana masih dalam siasatan". Lodin hadir pada prosiding PAC pukul 10 pagi ini selepas hadir pada prosiding di tempat sama semalam. -- Bernama