suria

Pembantu Perakaunan Ditemui Mati Di Sebelah Tangki Gas

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu perakaunan ditemui mati di dalam bilik tidurnya dengan sebuah beg berada di atas kepala dan tangki gas bersebelahan dengan katil.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman berkata polis menerima panggilan daripada seorang wanita kira-kira pukul 9.15 pagi Rabu, memaklumkan pihak berkuasa mengenai kejadian itu.

Lelaki itu, pembantu perakaunan berusia 25 tahun, ditemui mati di tempat tidurnya hanya memakai seluar pendek putih di sebuah rumah teres dua tingkat di Bukit Damansara di sini.

"Ada satu beg plastik di atas kepalanya. Hos, yang disambungkan ke tangki gas di sebelahnya, telah dimasukkan ke dalam beg itu.

"Tidak ada tanda-tanda kecederaan pada tubuhnya," jelas beliau.

Sharul berkata, lelaki itu mungkin mati akibat terhidu gas beracun.

"Dia tinggal bersama ibunya yang berusia 61 tahun dan telah bersara baru dua bulan lalu.

"Dia adalah anak bongsu daripada tiga adik-beradik. Bapanya meninggal dunia beberapa tahun yang lalu," cerita beliau.

Sharul berkata terdapat kemungkinan bahawa si mati mengalami tekanan.

"Ibunya tidak melihat apa-apa perubahan dalam tingkah lakunya sejak beberapa hari lalu.

"Tidak ada tanda-tanda pergelutan atau nota bunuh diri ditinggalkan di tempat kejadian," katanya.

Tiada unsur jenayah dalam kematiannya.

Mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain