suria

Thaipusam: 10 Jalan Utama Ibu Negara Ditutup Berperingkat Mulai Jumaat

KUALA LUMPUR: 10 jalan utama sekitar ibu negara akan ditutup secara berperingkat mulai 10 malam, Jumaat ini bagi memberi laluan perarakan "Pedati Perak" bersempena sambutan Thaipusam.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP S. Markandan berkata antara laluan terlibat ialah Jalan Sultan, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Sogo, Jalan Raja Laut dan Jalan Sri Amar.

"Perarakan pergi pada Jumaat akan bergerak dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S. Lee dan melalui sepuluh jalan utama tersebut, kemudian ke Jalan Tun Razak (pusingan-U depan Bomba), Jalan Ipoh (Jalan Salleh), Jalan Kovil Hilir, Lorong Konvil Hulu, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh, Jalan Ipoh Batu 5 dan Batu Caves," katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sidang media di sini Rabu berhubung  kawalan lalu lintas perarakan bersempena Thaipusam yang disambut pada Ahad ini (24 Januari).

Katanya perarakan pulang pula bermula 4 petang Isnin (25 Januari) dan dijangka berakhir pagi esoknya (26 Januari).

Kumpulan perarakan akan bergerak dari Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves, seterusnya melalui Jalan Ipoh, Batu 5, Jalan Perhentian, Lorong Konvil Hulu, Jalan Kovil Hilir, Jalan Tun Razak dan Jalan Ipoh.

Markandan berkata laluan yang ditutup turut melibatkan Jalan Raja Laut, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Ampang, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Tun Perak, Jalan Sultan, Jalan Hang Kasturi, Jalan Hang Lekir dan Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S Lee.

"Penutupan jalan yang berakhir Selasa depan akan dilakukan mengikut pergerakan kumpulan perarakan dan dibuka semula kepada pengguna jalan raya setelah mereka selesai melalui jalan tersebut," katanya.

Justeru itu, orang ramai yang ingin melalui kawasan tersebut dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas pada hari berkenaan.

Artikel Lain