KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat rondaan keselamatan bersama menjelang perayaan Thaipusam yang akan berlangsung di Batu Caves di sini pada Ahad ini. Tanpa mendedahkan bilangan anggota bertugas, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata rondaan bersama yang bermula hari ini dilakukan berikutan perkembangan insiden keganasan di beberapa bandar utama di dunia. "Aktiviti pengganas berlaku tidak kira di mana, jadi polis ambil langkah berjaga-jaga termasuk di Batu Caves. "Bilangan anggota polis yang bertugas kami tidak dedahkan namun saya ingin tegaskan bilangan anggota mencukupi," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media di Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam, di Batu Caves, Khamis. Turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa kuil itu Tan Sri R. Nadarajah. Ali menegaskan bahawa aspek keselamatan di Batu Caves di sini berada pada tahap yang terkawal dan selamat untuk dihadiri pengunjung dan penganut agama Hindu untuk beribadat. "Jangan buat sebarang spekulasi berkenaan tahap keselamatan di Batu Caves sehingga boleh mencetuskan kebimbangan dan panik terhadap orang ramai. Sekiranya ada pihak yang melanggar arahan polis, kami akan ambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya. Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga akan memantau kegiatan mengenakan bayaran di tempat letak kereta di sekitar kawasan Batu Caves. "Kami tidak benarkan sama sekali tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah individu yang mengutip bayaran parkir kereta dengan orang ramai. Kami akan pantau mereka ini dan saya nasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat atau membayar kepada mereka ini," katanya. Katanya lebih satu juta pengunjung dijangka berada di sekitar Batu Caves sempena perayaan berkenaan.-- Bernama