Mufti negeri, Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata perkara itu diputuskan berdasarkan hujah dan pandangan anggota muzakarah pada muzakarah khas jawatankuasa majlis fatwa negeri mengenai penggunaan bahan tersebut.
Menurutnya keputusan juga dibuat berpandukan dalil hukum dan perspektif syarak yang mengharamkan perbuatan serta pengambilan bahan yang memudaratkan diri dan tubuh badan.
"Oleh itu, umat Islam (di Sabah) adalah dilarang menghisap shisha, rokok elektronik vape atau apa-apa aktiviti berkaitan termasuk menjualnya. Syariat Islam melarang perbuatan dan tindakan yang boleh memudaratkan diri," katanya kepada pemberita selepas muzakarah itu, di sini Khamis.
"Selepas diwartakan, baru ada pelaksanaan dari segi undang-undang dan penguatkuasaan," katanya.
Sebanyak 10 anggota jawatankuasa menghadiri muzakarah khas itu terdiri daripada ahli akademik universiti tempatan, penasihat syariah dan hakim rayuan syariah.