suria

Tingkat Muafakat Sesama Jiran - Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat Malaysia memperkukuh pemuafakatan melalui semangat kejiranan. 

Beliau berkata ia langkah pertama ke arah perpaduan nasional dan keharmonian sejagat yang berterusan.

Menurutnya, kerajaan selama ini telah mengusahakan kempen-kempen penyatuan nasional berasaskan gagasan 1Malaysia.

"Pada tahun 2016 ini, marilah kita menguatkan azam untuk mengukuhkan lagi perpaduan sesama rakyat Malaysia.

"Kali ini, saya ingin menyarankan pula agar kita memperkukuhkan muafakat melalui semangat kejiranan," katanya dalam siaran audio di laman blogwww.najibrazak.com Jumaat.

Menurut Najib, semangat kejiranan buat masa kini kian luntur, khususnya di kawasan bandar.

"Mungkin kerana kita sibuk dengan pekerjaan kita, keluar pada awal pagi danpulang pada lewat malam, ada di antara kita tidak kenal jiran sebelah rumah.

"Sayang sekali sekiranya kita tidak mengamalkan kehidupan berjiran dengan baik, kerana jiran kitalah orang terdekat yang boleh membantu kita dalam kesusahan," katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa pada zaman dahulu, semangat kejiranan di kawasan luar bandar amat tinggi disertai jalinan silaturahim yang sangat erat.

"Sekiranya ada berita baik, maka riuhlah sekampung. Kalau ada kenduri, satu kampung juga akan bergotong-royong, memasak, melakukan persiapan, mengemas dan sebagainya," kata Najib.

Sehubungan itu, perdana menteri menggalakkan rakyat Malaysia memperbanyakkan interaksi sesama jiran tetangga memandangkan hubungan yang baik itu dapat menjamin keharmonian tempat tinggal masing-masing.

"Amalkan toleransi serta elakkan mengganggu ketenteraman kediaman mereka. Mulakan dengan usaha yang sangat mudah ini, iaitu berbaik-baik sesama jiran tetangga," katanya. -Bernama

Najib, Hidup Muafakat, Jiran