KEMAMAN: Pemberhentian sementara atau moratorium perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang oleh kerajaan memberi kelegaan kepada penduduk khususnya peniaga di Kampung Felda Neram 1 di sini apabila perniagaan mereka kini kembali beroperasi seperti biasa. Peniaga kedai makan, Safura Ismail, 46, berkata perniagaannya kembali pulih selepas moratorium selama tiga bulan dilaksanakan sejak 15 Jan lalu. "Alhamdulillah, sejak aktiviti melombong bauksit dah dihentikan sementara ni, saya memang rasa lega dan bersyukur sangat sebab perniagaan kembali seperti biasa dan pendapatan pun kian meningkat. "Kalau dulu, masa lori bauksit lalu lalang depan kedai ni, saya nak dapat RM200 sehari pun memang payah dan pelanggan hanya boleh bilang dengan jari saja...sekarang ni dah ramai pelanggan singgah di kedai saya," katanya. Safura berkata, hampir setahun perniagaannya terjejas apabila jalan di hadapan kedainya menjadi laluan utama lori yang mengangkut bauksit dari Bukit Goh, Kuantan. Katanya saat yang paling memeritkan adalah apabila terpaksa berhutang kepada pembekal disebabkan kekurangan modal selepas pelanggan tidak lagi mahu datang ke kedainya yang diselaputi debu merah. Safura berkata pelbagai cara dilakukannya bagi pertahankan kedainya itu sebab ia satu-satunya punca rezeki beliau. "Setiap pagi saya terpaksa basuh debu merah atas jalan raya sebab tak nak bagi debu berterbangan terlalu teruk dan dua tiga bulan saya terpaksa menanggung bil air hingga RM480 ... pasang tirai bagi elak debu masuk. "Setiap lima minit kak kena lap habuk atas meja dan kerusi ... pelanggan nak masuk pun fikir dua tiga kali sebab kedai kotor," katanya yang berharap tidak ada lagi lori bauksit yang lalu di kawasan itu selepas tempoh moratorium tamat. Amran Embong, 60, peneroka dari Kampung Tengah berkata operasi lori bauksit yang melalui Kampung Felda Neram 1 meninggalkan kenangan pahit buat dirinya yang kehilangan isteri Ramlah Junoh, 59, pada Oktober tahun lalu sewaktu dalam perjalanan ke Klinik Balok. "Masa tu pukul 3.30 petang, isteri saya sesak nafas dan saya terpaksa menempuh lebih 30 buah lori bauksit sebelum sampai ke klinik ... dalam keadaan cemas, saya minta laluan dengan pemandu lori bauksit, saya nyalakan lampu kecemasan, tapi tak ada pun lori yang beri laluan. "Saya ambil masa hampir sejam untuk sampai ke Klinik Balok. Bila sampai doktor sahkan isteri saya meninggal sewaktu dalam perjalanan, memang saya reda dengan pemergian isteri saya, tapi kesalnya tetap ada," katanya. Sementara itu, Tinjauan Bernama mendapati jalan dari simpang Bukit Kuantan ke persimpangan Jalan Jerangau-Jabor rosak teruk akibat menjadi laluan lori mengangkut bauksit.