LANGKAWI: Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Langkawi pada petang Sabtu dan disambut oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Difahamkan, Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 6.15 petang. Kedua-duanya dilihat berbual mesra sebelum Najib memasuki kereta. Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad memuat naik beberapa gambar ketibaan Perdana Menteri di lapangan terbang menerusi akaun Facebook miliknya. Najib dijangka menghadiri dua majlis di sini, iaitu majlis penerbangan sulung AirAsia ke Langkawi dari Guangzhou pada pagi Ahad, diikuti majlis makan tengah hari dengan kumpulan nelayan di Jeti Nelayan Pantai Chenang.