"Sekarang ia masih lagi spekulasi," kata Menteri Pengangkutan kepada The Star di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, mengulas mengenai laporan berita mengenai serpihan tersebut.
Tiong Lai berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Penerbangan Awam untuk menghubungi rakan sejawatannya dari Thailand bagi mendapatkan pengesahan.
Tambahnya, orang ramai tidak sepatutnya berkongsi berita yang masih belum disahkan kerana ia akan menambahkan kesedihan ahli keluarga mangsa.
Serpihan besar kepingan logam melengkung terdampar di wilayah Nakhon Si Thammarat, di mana penduduk kampung telah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk membantu mengenal pastinya, kata ketua daerah Pak Phanang, Tanyapat Patthikongpan kepada Reuters.
"Penduduk kampung menemui bangkai itu yang berukuran kira-kira dua meter lebar dan tiga meter panjang," katanya.
MH370 hilang pada 8 Mac 2014, selepas berlepas dari Kuala Lumpur bersama 239 penumpang dan anak kapal.
Pada 29 Julai 2015, sekeping sayap pesawat itu ditemui di Pulau Reunion dan dihantar ke Perancis untuk analisis selanjutnya.
Pada 6 Ogos, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa sebahagian daripada flaperon yang ditemui di pulau itu adalah milik pesawat itu.