SHAH ALAM: Dua restoran di sebuah pasar raya besar di sini menerima notis tunjuk sebab kerana mengenakan caj melampau terhadap minuman milo ais dan air kosong. Sebuah kopitiam dan restoran nasi ayam diberi tempoh seminggu untuk memberi alasan berhubung tindakan masing-masing mengenakan caj sebanyak RM5.90 dan RM6.70 terhadap segelas air milo ais, termasuk caj perkhidmatan dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Kedua-dua restoran itu turut perlu menjelaskan mengenai tanda harga 80 sen yang dicaj terhadap segelas air suam. Serbuan dilakukan berikutan aduan pengguna berhubung harga yang tidak munasabah dikenakan bagi minuman tersebut, kata Yusof Bakar yang juga Penolong Pengarah Kanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor. "Kedua-dua restoran itu perlu memberi penjelasan berhubung harga itu dengan pecahan kos operasi dan barang yang dijual di premis tersebut. "Jika penjelasan mereka tidak memuaskan, notis yang sama akan dikeluarkan semula. Mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang jika gagal menjelaskan mengenai perkara itu," katanya selepas satu serbuan di restoran tersebut di Seksyen 13 dekat sini pada Isnin. Yusof berkata notis tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 manakala maklumat lain diperlukan dibawah Seksyen 53A Akta yang sama untuk simpanan rekod. "Kebanyakan pengusaha perniagaan berasaskan makanan dan minuman memberi contoh pelaksanaan GST, kos sewa dan utiliti yang tinggi sebagai alasan mereka mengenakan harga yang tinggi," katanya. Sejak Januari, Yusof berkata jabatan tersebut mengeluarkan kompaun berjumlah RM1,700 kepada sembilan restoran kerana mengaut keuntungan berlebihan semasa Ops Catut di Selangor. "Pada tahun lalu, kami menerima sejumlah 5,987 aduan dimana 1,987 daripada berkaitan GST. Sementara itu, bakinya berkaitan industri makanan dan minuman. "Sebanyak 207 notis dikeluarkan pada tahun lalu dengan 28 kes membabitkan pencatutan. "Antaranya, lima didakwa di mahkamah, lima dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk didakwa dan 10 lagi masih disiasat," katanya.