IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah agama ibarat bom jangka yang mampu mencetuskan porak peranda jika disensasikan untuk tujuan politik. Baginda bertitah peranan agama amat suci, namun adakala ia dinodai pihak yang kurang memiliki hikmah dengan cuba menyelit nilai, prasangka serta agenda peribadi bagi menjuarai dan mensensasikan sesuatu isu. "Apabila agama diguna selain daripada tujuan menyemai roh ketuhanan, apa lagi apabila dipilih untuk disensasikan secara politik, agama adalah bom jangka yang amat kuat letupannya, berpotensi mencetuskan porak-peranda dan mala petaka," titah baginda. Sebaliknya, baginda bertitah agama apabila difahami sepenuhnya merupakan instrumen penyatuan, keadilan selain dapat melahirkan masyarakat baik yang memiliki roh dan kekuatan dalaman serta sifat kehambaan kepada Tuhan. Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini. Muzakarah tiga hari mulai Ahad bertemakan "Raja: Payung Pelindung Agama" itu diadakan bersempena Hari Keputeraan ke-59 Sultan Perak yang lalu. Sultan Nazrin bertitah status agama seseorang sama ada tergolong sebagai ahli syurga atau neraka ditentukan Allah, maka tidak wajar serta amat bercanggah dengan seruan Ilahi jika manusia sendiri memilih menjatuhkan hukum mengenai status akidah dan tahap keimanan insan lain. "Tugas dan tanggungjawab manusia terutama mereka yang terlibat secara langsung mengurus dan mengendalikan urusan agama ialah untuk menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. "Sifat ihsan adalah penting untuk berusaha membantu seramai mungkin manusia menemui cahaya kebenaran," titah baginda. Sultan Nazrin bertitah ulama dan umara yang diamanahkan mengurus hal ehwal Islam perlu melaksanakan tanggungjawab mereka secara berhikmah, bijak, adil di samping menghormati perasaan serta insan lain dan wajib memahami realiti semasa dan setempat. "Keadilan wajib dilaksanakan, maruah insan lain wajib dihormati, sementara Raja bertanggungjawab memenuhi peranan penimbang tara secara adil lagi saksama serta bersedia memberi ruang untuk mendengar dan menghalusi," titah baginda. Sultan Nazrin bertitah sifat adil memerlukan raja-raja memberi payung naungan secara saksama kepada semua lapisan rakyat tanpa mengira anutan agama masing-masing. "Raja-raja telah menerima hakikat kepelbagaian pegangan agama ini, dan tidak ada rekod yang menunjukkan raja-raja Melayu telah mengenakan paksaan kepada penganut agama lain untuk memeluk agama Islam," titah Sultan Nazrin.-- Bernama