suria

Henti Spekulasi, Jangan Bagi Harapan Palsu – Waris MH370

Serpihan besar kepingan logam melengkung yang disyaki bangkai pesawat telah dijumpai di wilayah Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand pada Ahad.

PETALING JAYA: Waris mangsa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang masih dibelenggu misteri kehilangannya meminta semua pihak supaya menghentikan sebarang spekulasi berhubung penemuan serpihan yang dipercayai milik kapal terbang Boeing 777 di pantai selatan Thailand.

Malah, waris dan keluarga terlibat juga meminta supaya tiada harapan palsu diberikan kepada mereka berhubung pesawat MH370 yang hilang sejak hampir dua tahun itu.

Selamat Omar, bapa kepada penumpang, Mohd Khairul Amri berkata, dia menerima panggilan daripada MAS yang memaklumkan mengenai penemuan serpihan itu pada petang Ahad.

Tambahnya, syarikat penerbangan negara itu bagaimanapun menjelaskan masih belum ada pengesahan berhubung penemuan berkenaan.

“Pihak DCA (Jabatan Penerbangan Awam) pun baru ke lokasi hari ini dan pihak berkuasa Thailand sedang membuat pemeriksaan.

“Saya tak mahu pengumuman dibuat walaupun belum ada pengesahan rasmi mengenainya. Biarlah tunggu sehingga sahih yang serpihan itu benar-benar milik pesawat MH370 barulah buat pengumuman,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Selain itu, salah seorang waris yang enggan dikenali pula berkata, buat masa ini dia tidak mahu mengikuti perkembangan penemuan serpihan di negara jiran itu.

Baginya, apa yang lebih penting ialah di peringkat 'akhir' penemuan tersebut mengenai kesahihannya yang boleh menjadi petunjuk kepada misteri kehilangan MH370.

“Biarkan siasatan dijalankan. Periksalah, siasatlah dahulu kerana kami tak mahu tahu selagi ia belum sahih. Nanti ada macam-macam spekulasi yang hanya boleh mengguris perasaan kami.

“Jangan beri harapan palsu, cukup-cukuplah. Sudah ‘confirm’, baru beritahu kami. Dan masa itulah kami sedia menerima berita yang benar-benar sahih itu,” katanya yang merupakan bapa kepada salah seorang penumpang. 

Bagi Maira Elizabeth Nari, anak perempuan ketua pramugara Andrew Nari menyifatkan penemuan terbaharu itu sebagai sesuatu yang 'memenatkan'.

"Saya penat selepas satu, satu lagi serpihan yang dijumpai. Bagi kami sekeluarga, apa yang lebih penting adalah orang tersayang di dalam pesawat MH370," katanya ringkas.

Sementara itu, Nur Laila Ngah, isteri kepada pramugara kanan, Wan Swaid Wan Ismail pula berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa terutama kerajaan Malaysia kerana menjalankan operasi mencari pesawat yang hilang itu sebaik serpihan itu ditemui.

“Saya berserah kepada Allah S.W.T, sebagai hambaNya saya berdoa supaya diberi ruang untuk menjawab segala persoalan di atas apa yang berlaku.

“Jika serpihan itu milik MH370, alhamdulillah. Jika tidak, tak apa dan jangan putus asa. Tapi jika ya, ia sekurang-kurangnya menjadi petunjuk dalam pencarian pesawat ini,” katanya.

Tambah Nur Laila, dia berharap agar kerajaan tidak menghentikan usaha mencari pesawat MH370 dan turut meminta semua waris yang lain untuk tidak berputus asa.

“Walaupun mungkin ada yang tidak mahu berharap, tetapi marilah kita sama-sama berdoa semoga ada keajaiban berlaku. Semuanya adalah ketentuan Ilahi,” katanya sambil menambah dia sentiasa mendoakan kesejahteraan suami dan seluruh penumpang serta anak kapal.

Serpihan besar kepingan logam melengkung yang disyaki bangkai pesawat telah dijumpai di wilayah Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand pada Ahad masih belum disahkan milik MH370 yang hilang hampir dua tahun lalu.

Pesawat MH370 hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal. 

Pesawat Boeing 777 itu belum dijumpai walaupun selepas operasi mencari dijalankan secara menyeluruh di selatan Lautan Hindi iaitu lokasi penerbangan pesawat itu dipercayai berakhir selepas melencong dari laluan asal.

Pada 29 Januari tahun lepas, kerajaan secara rasmi mengisytiharkan pesawat MH370 kemalangan dan kesemua penumpang dan anak kapal dianggap telah terkorban.

MH370

Artikel Lain