suria

Orang Ramai Diminta Tidak Lindungi Banduan Lari Dari Penjara Marang

Usaha sedang dipergiatkan untuk mengesan Mohd Nazri yang sudah tiga hari melarikan diri dari Penjara Marang.

KUALA TERENGGANU: Ketua Polis Negeri, Datuk Rosli Ab Rahman meminta orang ramai agar tidak memberi perlindungan kepada seorang banduan yang melarikan diri daripada Penjara Marang sejak tiga hari lalu.

Beliau berkata pihak polis akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang berbuat demikian termasuk anggota keluarga banduan tersebut.

Beliau yakin banduan itu Mohd Nazri Mat Nasir, 23, masih bersembunyi di negeri ini.

Katanya usaha menjejaki banduan itu telah diperluas dengan skala yang lebih besar.

"Seramai 169 pegawai dan anggota dari Jabatan Penjara serta 30 anggota polis dikerahkan bagi mengesan banduan terbabit termasuk bantuan unit anjing pengesan serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta kereta peronda.

"Sehingga semalam operasi pencarian merangkumi radius lima kilometer di sekitar kawasan penjara dan hari ini kita perluaskan lagi lokasi pencarian.

"Kita juga melakukan pemantauan dan serbuan di kediaman keluarga suspek serta lokasi lain termasuk pangkalan dadah," kata Rosli.

Mohd Nazri melarikan diri setelah memberi alasan untuk ke tandas ketika sedang mengikuti kelas agama di penjara berkenaan pada pagi Ahad lalu.

Dia yang menjalani hukuman enam bulan penjara atas kesalahan mencuri dalam bangunan dipercayai melarikan diri dengan memanjat tembok di belakang tandas berkenaan.

Mohd Nazri yang berasal dari Kampung Paya Resak, Marang mula menjalani hukuman mulai 3 Januari lalu.

Pihak polis telah mengedar gambarnya dan meminta orang ramai yang mengetahui lokasi persembunyian banduan itu agar menyalurkan maklumat kepada pihak mereka.-- Bernama



Artikel Lain