suria

Rafizi Didenda Kerana Aib, Bangkitkan Kemarahan Ahli Umno

Setiausaha Agung PKR Mohd. Rafizi Ramli,39, selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen ekoran sengaja mengaib dan membangkitkan kemarahan anggota UMNO dua tahun lalu. Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman denda RM1,800.

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli didenda RM1,800 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah dengan sengaja mengaib dan membangkitkan kemarahan anggota Umno menerusi satu kenyataan dua tahun lepas.

Hakim Azwarnida Afandi turut memerintahkan Anggota Parlimen Pandan itu dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mohd Rafizi, 39, membayar denda itu. 

Azwarnida berkata pendakwaan berjaya menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah. 

"Sewajarnya tertuduh memberi kenyataan hanya berdasarkan "Langkah Kajang" tetapi telah pergi jauh dan dilihat menyentuh sensitiviti Umno. Mahkamah turut menyifatkan keterangan tertuduh bersifat difikiran kemudian (after thought)," kata Azwarnida. 

Dalam menjatuhkan hukuman tersebut, kata Azwarnida, mahkamah mengambil kira status tertuduh sebagai anggota parlimen yang tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tersebut dan boleh menimbulkan keaiban dan kemarahan orang awam. 

Beliau berkata tertuduh sepatutnya lebih bertanggungjawab, peka dan sensitif dengan keadaan sekeliling sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Bagaimanapun tertuduh bernasib baik, kenyataan yang dikeluarkan tidak menimbulkan suasana tegang di kalangan masyarakat," katanya. 

Mengikut pertuduhan, Mohd Rafizi dengan sengaja mengaib dan membangkitkan kemarahan anggota Umno melalui kenyataannya dalam artikel bertajuk 'Will Rafizi quit if Selangor is not toppled?' yang boleh mengancam keamanan awam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat The Edge Malaysia Communication Sdn Bhd, Menara KLK, Jalan PJU 7/6, Mutiara Damansara, pada 11.40 pagi, 4 Februari 2014. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Eric Paulsen, yang mewakili Mohd Rafizi, memohon mahkamah hanya mengenakan hukuman berbentuk denda atas alasan anak guamnya merupakan anggota parlimen dan kenyataan itu juga tidak menyebabkan sebarang kekacauan. 

Eric berkata Mohd Rafizi juga tidak mempunyai niat untuk berbuat demikian selain tidak mempunyai kesalahan lampau.

Timbalan Pendakwa Raya Roslan Mat Noor membantah rayuan hukuman denda itu kerana faktor kedudukan tertuduh tidak boleh dijadikan alasan untuk mendapat hukuman ringan.

"Mahkamah sewajarnya menjatuhkan hukuman bukan sahaja berbentuk pengajaran terhadap tertuduh tetapi untuk orang awam," katanya. -- Bernama 


Rafizi Ramli, PKR, Umno

Artikel Lain