suria

Siasatan Derma RM2.6 Billion Teliti, Menyeluruh - Zahid

PETALING JAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata siasatan Peguam Negara terhadap kontroversi derma politik berjumlah RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibuat dengan teliti dan menyeluruh.

"Setiap bukti dan perkara disiasat dengan mendalam. Tiada sesiapa pun harus mempersoalkan proses undang-undang kita atau kecekapan dan kebebasan institusi di Malaysia," kata Timbalan Perdana Menteri itu pada Selasa.

Selain itu menurut Ahmad Zahid, seperti yang dijelaskan sebelum ini, tiada pelanggaran undang-undang berlaku membabitkan isu derma berkenaan.

"Seperti yang telah dijelaskan, tiada syarat yang dikenakan dengan derma yang telah dibuat kepada Perdana Menteri secara peribadi, iaitu ia dibuat daripada kepercayaan kepada beliau dan kepimpinan beliau mengenai isu-isu utama.

"Saya mengetahui akan perkara ini selepas bertemu sendiri dengan penderma yang dimaksudkan. Perdana Menteri memilih sendiri untuk menggunakan sumbangan untuk kepentingan parti dan keperluan masyarakat di seluruh Malaysia," katanya.

Tambah Ahmad Zahid beliau berharap semua pihak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat Peguam Negara mengenai isu berkenaan.

"Sebagai ahli politik, kita sentiasa bersedia untuk diserang oleh musuh-musuh yang ingin merosakkan reputasi kita dengan tuduhan palsu untuk menidakkan kita. Walau bagaimanapun, adalah salah untuk merosakkan reputasi kerajaan dan negara untuk kepentingan politik peribadi. Kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan peribadi.

"Kita telah terlalu banyak menghabiskan masa dengan perkara ini. Justeru saya berharap ia tidak diungkit lagi. Kita mesti bersatu dan bergerak ke hadapan di bawah kepimpinan Perdana Menteri untuk Malaysia.

"Beliau adalah orang yang amat bersesuaian untuk membawa kita mengharungi kemelut ekonomi global semasa dan ancaman keselamatan yang dihadapi kini," katanya.

Artikel Lain