PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan akan mengumumkan pembayaran bonus kepada pendepositnya pada awal Februari ini. Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Ismee Ismail berkata kedudukan kewangan TH adalah stabil dan disokong oleh aset-asetnya. "TH ingin memberi jaminan bahawa tidak terdapat sebarang kelewatan dalam mengumumkan bonus kepada para pendeposit. "Sebelum pengumuman dibuat, TH perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa, memastikan semua proses auditan dilalui dan kelulusan dalaman diperolehi sebagai sebahagian daripada proses urus tadbir yang baik. "InsyAllah TH akan mengumumkan bonus pada awal Februari setelah melalui proses-proses dalaman dan audit interim seperti lazimnya setiap tahun," katanya menerusi kenyataan pada Selasa. Selain itu Ismee berkata pihaknya bagaimanapun perlu membuat persedian rapi bagi menghadapi cabaran ekonomi semasa. "Oleh yang demikian dalam menetapkan kadar bonus, TH mesti mengambil kira keadaan ekonomi semasa termasuk pasaran saham, harga minyak dan kadar pertukaran mata wang yang akan memberi kesan kepada ekonomi negara. "Prestasi kewangan TH berada dalam keadaan baik disokong oleh aset-asetnya yang kukuh termasuk peratusan mudah tunai yang tinggi. Contohnya aset tunai sahaja pada 31 Disember 2015 adalah sebanyak RM10.7 bilion," katanya.