KUALA LUMPUR: Usul untuk memutuskan tentang penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan dibentangkan pada sidang khas Dewan Rakyat yang bermula pukul 10 pagi Selasa. Anggota Dewan Rakyat akan membahas dan mengundi mengenai TPPA dalam sesi khas dua hari bermula Selasa. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mencadangkan usul berkenaan untuk mendapat sokongan anggota Dewan Rakyat terhadap keputusan kerajaan bagi Malaysia menjadi sebahagian anggota negara TPPA dengan menandatangani dan meratifikasi perjanjian itu. Berdasar kepada Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat pada Selasa, kerajaan dalam usul itu juga akan mencadangkan Dewan Rakyat menerima kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa, pelaburan asing, teknologi dan pelancongan. Mustapa akan turut mencadangkan bahawa dalam memutuskan penyertaan Malaysia dalam TPPA, Dewan Rakyat menyeru semua pihak bersama-sama berusaha menjayakan matlamatnya. Selepas sesi khas dua hari di Dewan Rakyat, Dewan Negara pula akan membahaskan dan mengundi isu TPPA pada 28 Januari. Malaysia adalah antara 12 negara bersama Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam memuktamadkan rundingan berkaitan TPPA pada 5 Oktober 2015. - Bernama