suria

Bot Karam: Empat Lagi Mayat Pati Ditemui

Gambar Hiasan

KOTA TINGGI: Empat lagi mayat lelaki pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia ditemui terdampar di pantai Ladang Sungai Tengah, Kota Tinggi, petang tadi, menjadikan keseluruhan mangsa lemas yang ditemukan seramai 22 sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, keempat-empat mayat itu ditemui antara 1.30 tengah hari hingga 4.30 petang tadi.

Dalam kenyataan di sini, beliau berkata, dua mayat ditemukan oleh orang awam manakala dua lagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam jarak kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

"Kesemua mayat dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar untuk dokumentasi dan akan dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat," kata beliau. 

Sehingga kini, 13 mayat lelaki dewasa dan sembilan mayat wanita ditemui sejak kejadian awal pagi, Selasa."Operasi mencari masih lagi diteruskan di kawasan pesisir pantai," katanya. 

Rahmat berkata, maklumat awal mendedahkan bot pancung tersebut dipercayai  dari Batam Indonesia dan merancang untuk memasuki negara ini secara tidak sah.

Bot itu dikatakan terbalik akibat dipukul ombak dan angin kencang menyebabkan kesemuanya terjatuh ke dalam laut pagi, Selasa. -- Bernama

Pati, Kota Tinggi, Batam, Rahmat Othman, SAR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain