suria

Diskaun Tol LDP, Sprint Sempena Tahun Baharu Cina

PUTRAJAYA: Pengguna Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sprint masing-masing akan mendapat diskaun 60 sen dan 20 sen bagi bayaran tol bersempena Tahun Baharu Cina.

Ketua Jabatan Komunikasi Kumpulan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) Shah Rizal Mohamed Fawzi berkata diskaun tol yang bermula pada pukul 12 tengah malam  8 Februari dan berakhir pada 11.59 malam itu diberi kepada semua jenis kenderaan.

"Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 424,000 pengguna LDP dan Sprint dengan nilai diskaun sebanyak RM202,000," katanya dalam sidang media di sini hari ini. Litrak ialah pengendali LDP dan Lebuhraya Sprint.

Sejak dilaksanakan pada 2010, sejumlah RM8.5 juta subsidi tol diberi kepada hampir 14 juta pengguna di kedua-dua lebuh raya itu ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Krismas, katanya.

Dalam pada itu, Shah Rizal berkata lebuhraya SPRINT akan mula melaksanakan kutipan bayaran tol secara elektronik sepenuhnya pada 2 Mac depan, bermula pukul 12 tengah hari.

Katanya pelaksanaan itu melibatkan tiga tol iaitu Plaza Tol Pantai, Plaza Tol Bukit Kiara dan Plaza Tol Penchala.

Beliau berkata kesedaran pengguna tentang penggunaan kad elektronik bertambah baik dengan kadar penembusan penggunaan bayaran secara elektronik di Lebuhraya SPRINT meningkat sehingga 80 peratus pada tahun lepas daripada 65 peratus pada 2012.

"Kita harap baki 20 peratus pengguna yang belum memilih kaedah pembayaran elektronik akan bertukar kepada penggunaan kad sama ada Touch n Go atau SmartTAG untuk melakukan transaksi bayaran tol di plaza tol terlibat kerana kaedah itu membantu perjalanan menjadi lebih mudah dan pantas.

"Berdasarkan kajian, kami dapati jangka masa transaksi yang diambil pengguna yang membuat bayaran menerusi Touch n Go dan SmartTAG adalah enam dan tiga saat berbanding 15 saat bagi bayaran secara tunai," katanya.

Mengenai LDP, Shah Rizal berkata pihaknya menyasarkan untuk melaksanakan kaedah kutipan bayaran secara elektronik di lebuh raya itu pada September ini.

Tol, LDP, Sprint, Litrak

Artikel Lain