suria

Saman Tony Pua, Permohonan Najib Didengar 13 April

KUALA LUMPUR: Permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memadamkan beberapa perengggan dalam afidavit sokongan difailkan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee dalam saman berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan didengar pada 13 April depan.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Roslan A. Bakar menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri peguam Choo Shi Jin yang mewakili perdana menteri dan peguam Alliff Benjamin Suhaimi mewakili Pua.

Turut hadir peguam Shahid Adli Kamarudin mewakili pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong, yang dinamakan sebagai defendan kedua dalam kes saman itu.

Alliff ketika ditemui pemberita memaklumkan bahawa pada tarikh yang sama (13 April) mahkamah juga akan mendengar permohonan Pua untuk membatalkan saman tersebut.

Katanya, mahkamah turut menetapkan 22 April untuk mendengar satu lagi permohonan perdana menteri bagi memadamkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan difailkan Chan.

Najib, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman fitnah itu pada 5 Mac tahun lepas dengan menamakan Pua, 43, dan Chan, 52, sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Najib selaku plaintif berkata pada 13 Nov 2014, Pua, sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan dana DAP, telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB.

Najib berkata rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh Chan sendiri dan/atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.

Katanya, rakaman ucapan itu mengandungi perkataan yang merujuk dan berkaitan dengan dirinya dan memfitnahnya dan individu dikenali sebagai 'perdana menteri' dan semestinya merujuk secara spesifik kepada dirinya (Najib).

Najib mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau telah merompak duit rakyat berkaitan urus niaga 1MDB dan oleh itu beliau adalah seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak layak memegang jawatan awam.

Beliau berkata penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu telah merosakkan reputasinya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula.

Sehubungan itu, Najib menuntut ganti rugi am, teladan, kos dan perintah injunksi bagi menahan defendan pertama dan kedua atau ejen-ejen mereka daripada menerbitkan lagi perkataan-perkataan fitnah itu terhadapnya.

Tony Pua, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain