suria

Kastam Cadang AP Bauksit Dilakukan Secara Atas Talian

Pengarah Kastam Pahang, Datuk Sarip Ismail (depan) bersama pegawai dan kakitangannya memberi tabik hormat pada majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-34 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Makmur Ar-Rahman Kompleks Perumahan Kastam Sultan Ahmad Shah, Khamis.

KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang mencadangkan pengeluaran Permit Kelulusan (AP) untuk aktiviti perlombongan bauksit dilakukan secara dalam talian.

Pengarahnya Datuk Sarip Ismail berkata langkah itu boleh mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab membuat salinan semula borang permohonan AP yang asli, selain memudahkan urusan kawalan dan pemantauan terhadap pengusaha bauksit.

"Jika dilakukan secara manual, ada kemungkinan pihak tidak bertanggungjawab membuat salinan yang boleh mengaburi pihak berkuasa.

"Ini kerana, salinan itu kelihatan seperti yang asal walaupun sebenarnya ia bukan asli," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-34 peringkat negeri di sini, Khamis.

Katanya langkah berkenaan secara langsung dapat menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dalam operasi perlombongan mineral itu di negeri ini.

Menurutnya cadangan berkenaan telah diutarakan kepada Jabatan Mineral dan Geosains Pahang untuk dibincangkan secara bersama tentang kebaikan pelaksanaan sistem secara dalam talian itu.

Sarip berkata JKDM Pahang telah mempunyai sistem e-Permit yang turut disertai agensi lain dalam pengeluaran permit berkaitan jabatan itu.

Dalam perkembangan lain, Sarip berkata sebanyak 14,086 syarikat dan premis perniagaan telah berdaftar bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di negeri ini sehingga semalam.

Katanya JKDM Pahang akan terus mempertingkatkan lagi operasi menjejak premis yang masih belum berbuat demikian dalam usaha mencapai sasaran 100,000 premis di seluruh negara tahun ini.

Sarip berkata dalam Op Jejak GST 2016 yang berlangsung dari 17 Jan hingga 22 Jan lepas, sebanyak 97 premis berjaya didaftarkan dengan GST di lokasi bagi Zon Timur iaitu di Pahang sejumlah 50 premis, Kelantan (21) dan Terengganu (26).

"Keseluruhan syarikat yang dilawati di Zon Timur adalah sebanyak 1,184 dalam tempoh lima hari iaitu Pahang sebanyak 539, Kelantan (381) dan Terengganu (264).

"Ini tidak mencapai sasaran sebenar dalam operasi ini iaitu sebanyak 1,579 premis yang akan didaftarkan kerana beberapa kekangan antaranya ada syarikat yang sudah berpindah luar dari Pahang," katanya.

Sementara itu, dalam aspek penguatkuasaan, beliau berkata pihaknya telah membuka sebanyak 162 kertas siasatan dengan rampasan barangan bernilai RM3,590,452 sepanjang tahun lepas.

Jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan 106 kertas siasatan dan nilai barangan dirampas berjumlah RM1.8 juta.

"Cukai bagi barang rampasan untuk tahun lepas berjumlah RM7.644 juta berbanding tahun 2014 hanya RM5.2 juta sahaja," katanya.--Bernama 

AP, bauksit, Kastam, Sarip Ismail

Artikel Lain