suria

Dewan Negara Lulus Usul TPPA

KUALA LUMPUR: Malaysia kini bersiap sedia untuk menganggotai pakatan perdagangan terbesar dunia apabila ia mendapat kelulusan Dewan Negara pada Khamis untuk menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Pada persidangan khasnya hari ini, Dewan Negara meluluskan usul menyokong penyertaan Malaysia dalam TPPA, berdasarkan undi suara.

Kelulusan usul itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Sebanyak 21 Senator membahaskan usul itu, yang dibentangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang menurut beliau, akan meningkatkan lagi daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global.

Usul sama diluluskan Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam ucapan penggulungannya di Dewan Negara, Mustapa berkata TPPA yang telah ditandatangani boleh disemak semula dalam tempoh tiga tahun selepas ia diratifikasikan.

"Banyak proses yang akan berlaku, pertama kita akan tandatangan pada 4 Feb depan kalau semua bersetuju dan seterusnya proses ratifikasi selama dua tahun. Lepas tu ada 'review' selepas tiga tahun sehingga tahun 2021 dan setiap lima tahun ada pulak kajian dan ini bukan statik," katanya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengubah dasar-dasar penting dalam negara terutama berkaitan Bumiputera dan hal-hal yang tidak boleh diubah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan selepas menandatangani TPPA.

Beliau turut meredakan kebimbangan yang ditimbulkan beberapa anggota Dewan Negara berhubung mekanisme penyelesaian pertikaian antara pelabur dengan kerajaan (ISDS) yang dikhuatiri akan memihak kepada syarikat asing.

Katanya ISDS juga sangat penting untuk menjaga kepentingan syarikat-syarikat pelabur Malaysia di luar negara.

Mustapa berkata mekanisme ISDS dalam TPPA adalah yang telah diperbaharui, di mana pertikaian-pertikaian akan dibawa ke Suruhanjaya TPP.

Katanya pihaknya juga akan memikirkan cara terbaik mewujudkan sebuah pasukan jawatankuasa yang akan memantau perjalanan TPPA selepas ia ditandatangani kelak seperti yang dicadangkan.

Bercakap kepada wartawan di Lobi Parlimen selepas usul diluluskan, Mustapa berkata penyertaan Malaysia dalam TPPA hanya akan diratifikasi selepas segala pindaan terhadap undang-undang berkaitan selesai.

"Pertama tandatangan, kedua ratifikasi, mana-mana negara yang tak 'ratify' selepas dua tahun (maka) dia tak jadi ahli TPPA.

"Katakan kita (Malaysia) nak pinda 17 undang-undang dengan 26 pindaan, sekiranya Dewan Rakyat atau Dewan Negara tak lulus, maka tak boleh 'ratify', maka tak jalan. Itu dalam undang-undang antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, Mustapa berkata pihak kementerian serta agensi berkaitan akan terus melaksanakan program penerangan kepada akar umbi supaya mereka mendapat fakta yang tepat serta pemahaman penuh mengenai perjanjian itu.

"Penting untuk kita (kementerian) meneruskan kerja 'engagement', 'outreach', khususnya peringkat akar umbi supaya beberapa momokan, ketakutan yang telah berjaya ditanam oleh pihak-pihak tertentu, dapat kita tangani," katanya lagi.

Selain itu, katanya, kerajaan secara prinsip bersetuju dengan cadangan yang diutarakan oleh anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengenai penubuhan Institut Penyelidikan TPPA bagi memastikan pelaksanaannya lancar.

TPPA dianggotai 12 negara iaitu Malaysia, Brunei, Singapura, Jepun, Vietnam, New Zealand, Australia, Kanada, Amerika Syarikat, Chile, Peru dan Mexico.

Ia akan ditandatangani di New Zealand pada 4 Feb ini selepas melalui proses perundingan sejak 2010. TPPA dijangka berkuat kuasa pada 2018.
TPPA

Artikel Lain