KUALA LUMPUR: Sebanyak 100 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyamar sebagai penumpang bas ekspres dalam operasi khas sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina dari 2 Feb sehingga 16 Feb ini. Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata seorang pegawai JPJ akan ditugaskan dalam bas ekspres secara rambang dengan mengenakan pakaian preman dalam memastikan pemandu bas mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan. Katanya, tindakan itu perlu memandangkan orang ramai banyak memilih bas sebagai medium pengangkutan utama semasa musim perayaan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. "Pegawai yang ditempatkan dalam bas itu akan menilai tahap pemanduan pemandu bas dan jika mereka melakukan kesalahan, pegawai kami akan terus saman mereka setibanya di destinasi yang ditujui," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki di Plaza Tol Sungai Besi Arah Selatan di sini, Khamis. Turut hadir, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Pengerusi Eksekutif Kawasaki Motors Malaysia Datuk Hanipuddin Raja Datuk Nong Chik dan Ketua Pengarah Miros Prof Dr Wong Shaw Voon. Ismail berkata, pada masa sama pegawai JPJ juga akan turut melakukan pemeriksaan teknikal terhadap bas ekpsres di kesemua 82 depoh bas di seluruh negara dalam tempoh operasi berkenaan. "Jika bas yang diperiksa disahkan berada dalam keadaan baik maka kami akan keluarkan sijil bagi membenarkan bas itu beroperasi," katanya sambil menambah pemeriksaan juga akan dilakukan di terminal bas utama terhadap pemandu bagi memastikan mereka bebas dadah. Dalam pada itu, katanya sebanyak 1,800 pegawai turut serta dalam 'Ops Sikap' dan mereka juga akan menyertai operasi menyeluruh di seluruh negara yang memfokuskan kepada penunggang motosikal pada 2, 6, 12 dan 14 Feb nanti. "Ops Sikap kali ini akan menumpukan kepada kesalahan pengguna jalan raya seperti memotong garisan berkembar, memotong dari sebelah kiri, tidak memakai topi keledar, tidak memakai tali pinggang keselamatan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu. "Sementara operasi menyeluruh yang bermula pada 8 sehingga 12 tengah malam itu turut melibatkan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen," katanya. Selain itu, katanya sebanyak 500 anggota skuad muda JPJ akan menyertai kempen advokasi bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya di 13 kawasan rehat dan rawat terpilih di lebuh raya utama negara bagi meningkatkan kesedaran kepada pengguna lebuh raya agar dapat memandu secara berhemah. Sementara itu, Liow berkata operasi penyamaran pegawai JPJ dalam bas ekspres itu bukan bertujuan untuk mengenakan hukuman penalti tetapi meningkatkan kesedaran supaya mereka mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan. "Kita bukan nak kenakan hukuman penalti tetapi saya lihat ini sebagai satu inisiatif untuk menyelamatkan nyawa daripada menjadi mangsa nahas korban jalan raya," katanya.