PUTRAJAYA: Ancaman pengganas merupakan cabaran terbaharu Jabatan Imigresen yang mengawal pintu masuk negara serta memantau pergerakan orang masuk dan keluar, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafa Ibrahim "Ketika saya memulakan tugas sebagai Ketua Pengarah Imigresen ancaman pengganas tidak sehebat hari ini," katanya kepada pemberita pada hari terakhirnya menerajui jabatan itu di sini. Mustafa, yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen pada 14 November 2014, akan menggalas tugas baharu sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri mulai 2 Februari depan. Jawatan Ketua Pengarah Imigresen akan diisi Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Datuk Sakib Kusmi. Mustafa berkata Jabatan Imigresen merupakan penyumbang hasil ketiga terbesar kepada kerajaan selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kastam Diraja Malaysia dengan hasil sumbangan, berjumlah sebanyak RM3.7 bilion, tahun lepas. Mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis berhubung Program Penggajian dan Penempatan Semula pendatang asing tanpa izin (PATI), Mustafa menyifatkan langkah itu membolehkan kerajaan mengetahui angka sebenar PATI di Malaysia. "Kita menyeru majikan menyertai program ini apabila ia dilaksanakan dalam waktu terdekat. Prosedur Operasi Standard (SOP) program berkenaan kini di peringkat akhir. "Paling utama, Jabatan Imigresen hendak mendaftar PATI yang kini ada pihak yang mendakwa terdapat sejuta dan ada yang kata dua juta," katanya. - BERNAMA