PUTRAJAYA: Semua pelawat dari Amerika Selatan dan Amerika Tengah serta rakyat Malaysia yang pulang dari benua berkenaan yang mempunyai gejala demam dan bintik-bintik dikehendaki melaporkan diri ke pusat kuarantin kesihatan atau pejabat kesihatan apabila tiba di Malaysia. Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata langkah itu adalah bagi mengekang kemasukan virus Zika memandangkan ujian saringan kesihatan umum di pintu masuk negara adalah tidak praktikal. "Gejalanya adalah ringan dan sukar dikesan selain ketiadaan ujian cepat yang boleh digunakan," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat. Menurutnya, terdapat 22 buah negara melaporkan kes Zika buat masa ini. Negara itu ialah Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Republik Dominica, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala, Guyana, Honduras, Martinique, Mexico, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Suriname, U.S.Virgin Islands, Venezuela dan Samoa. Walaupun virus itu hanya menyebabkan demam ringan dan bintik-bintik di badan, sakit sendi serta tidak menyebabkan kematian, namun ia dikaitkan dengan kejadian "microcephaly" iaitu kelahiran bayi dengan kepala atau otak mengecil serta gejala saraf iaitu sindrom "Guillain-Barre", katanya. "Microcephaly" merupakan kecacatan otak atau kepala kekal yang boleh mempengaruhi kualiti hidup bayi sehingga dewasa. Dr Lokman Hakim berkata wanita mengandung juga dinasihatkan tidak melakukan lawatan ke negara-negara terlibat. "Rakyat Malaysia lain yang melakukan perjalanan ke negara tersebut hendaklah mengambil langkah pencegahan seperti tidak berada di luar semasa waktu puncak gigitan nyamuk Aedes di awal pagi dan lewat petang, memakai pakaian menutupi anggota badan dan menggunakan ubat pencegahan gigitan (repelen) secara tetap," katanya. Kementerian juga akan mengeluarkan amaran kesihatan kepada semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta, katanya. Lokman Hakim berkata pemantauan di klinik dan hospital juga akan ditingkatkan jika terdapat kes yang mempunyai tanda-tanda virus Zika dan mempunyai sejarah perjalanan ke 22 buah negara terlibat selain pemantauan bagi kes "microcephaly". "Daripada pemantauan berterusan oleh kementerian, sebanyak 288 sampel dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan telah diuji dan keputusannya semua adalah negatif untuk virus Zika," katanya. Menurutnya, kementerian mengambil berat penularan virus Zika di benua tersebut memandangkan risiko jangkitan itu merebak ke Malaysia adalah tinggi kerana mempunyai nyamuk pembawa jangkitan iaitu nyamuk Aedes. Katanya densiti nyamuk Aedes di Malaysia adalah sangat tinggi selain hakikat negara ini juga dibebani dengan masalah denggi yang disebarkan oleh nyamuk yang sama. Rakyat Malaysia secara amnya tidak mempunyai imuniti terhadap penyakit itu memandangkan ia belum terdapat di negara ini, katanya. "Oleh itu, jika virus ini dibawa masuk oleh rakyat Malaysia yang dijangkiti atau pelancong luar ke Malaysia, ia boleh merebak dengan pantas," jelasnya. Katanya, seperti denggi, tiada vaksin dan ubat khusus dapat membunuh virus Zika, jadi orang yang dijangkiti akan menjadi sumber jangkitan kepada orang lain jika digigit oleh nyamuk Aedes. - BERNAMA