suria

Guru Maut, Dua Cedera Disambar Petir

SHAH ALAM: Seorang guru berusia 32 tahun maut setelah disambar petir dalam satu kejadian di sebuah sekolah menengah di Seksyen 11 di sini, petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata guru itu dikenal pasti Mohd Farhan Masudi dan mengajar di sebuah sekolah menengah di Tanjong Karang.

Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa dalam keadaan  basah disebabkan hujan lebat dikatakan berteduh bersama-sama lima guru lain di hadapan pintu logam masuk dewan sekolah selepas menjalani aktiviti di padang sekolah.

"Tiba-tiba berlaku petir menyebabkan mangsa yang bersandar pada pintu  tersebut rebah dan mengalami cedera parah dari bahagian dada ke kepala dan  terus dikejarkan ke Hospital Shah Alam.

"Mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp.

Katanya, dua rakan mangsa berusia dalam lingkungan 30-an yang cuba  membantu mangsa turut terkena renjatan dan pengsan di tempat kejadian dan kini  dilaporkan stabil.

Shafien berkata, kesemua mangsa berada di sekolah berkenaan bagi menghadiri kursus kejurulatihan bola sepak yang turut disertai 40 guru dari seluruh Selangor.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.

Petir, Guru

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Polis Giat Buru Geng 'Tengku'

Artikel Lain