suria

Seramai 20 Adun BN Kedah Menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah

ALOR SETAR: Seramai 20 daripada 21 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) hadir pada majlis mengadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman di sini, Isnin.

Menurut seorang daripada Adun yang hadir pada majlis itu, hanya Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang tidak hadir pada majlis yang diadakan di Blok E bangunan berkenaan.

Majlis menghadap itu dipercayai diadakan berikutan krisis politik membabitkan kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah.

Sementara itu, petugas media tidak dibenarkan masuk ke Wisma Darul Aman dan hanya dibenarkan menunggu di luar pagar kompleks kerajaan negeri Kedah.

Sebelum itu, kenderaan yang membawa anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Tan Sri Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah tiba di Wisma Darul Aman pada 2.40 petang, diikuti seorang lagi anggota jemaah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah pada 2.55 petang.

Pengerusi jemaah itu Tan Sri Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah tiba pada pukul 3 petang.

Krisis politik di Kedah tercetus berikutan Adun dan anggota Parlimen Umno Kedah, dan pimpinan kanan Umno negeri, yang diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menyuarakan secara terbuka mengenai hilang keyakinan mereka terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri. 

Dilaporkan seramai 19 daripada 21 Adun BN, iaitu 17 daripada Umno dan dua dari MCA, telah menandatangani surat akuan menyatakan hilang kepercayaan mereka terhadap Mukhriz. 

Hanya Adun Jitra Datuk Aminuddin Omar yang tidak berbuat demikian.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadap Tunku Sallehuddin, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan pertukaran Menteri Besar.

Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu ialah Tunku Abdul Hamid yang juga Tunku Laksamana Kedah dan Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Tunku Panglima Besar Kedah.

Najib dalam sidang media pada hari yang sama selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dilaporkan berkata beliau telah menyembah maklum beberapa cadangan kepada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah berhubung kemelut berkenaan. -- Bernama




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Mukhriz Mungkin Disingkir

Artikel Lain