TAIPING: Seorang penganggur wanita berusia 42 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini kerana mengabaikan penjagaan seekor anjing Rottweiler betina yang dimilikinya. Anna Teoh Poi Ling, yang belum berkahwin, mengaku melakukan kesalahan itu pada 6 Mac tahun lalu di rumahnya di Kampung Boyan di sini. Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (d) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya. Majistret Mohd Rohaizad Abdullah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap Teoh atau enam bulan penjara. Pegawai Pendakwa Mohd Nizam Abdullah berkata, anjing itu akan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan akan dipelihara. "Anjing itu tidak diberi makanan atau minuman dan telah diabaikan oleh pemiliknya. "Selepas kematian ibu, pemiliknya telah menjaganya tetapi tidak mampu meneruskannya kerana saiz anjing itu terlalu besar," katanya. Kes itu adalah yang pertama di Perak selepas akta dipinda pada 3 Mac 2015.