suria

Khairuddin Mohon Prosiding Semakan Keputusan Peguam Negara

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan pertuduhan kerana cuba melakukan sabotaj terhadap perbankan dan kewangan negara. 

Khairuddin, 54, mendakwa pertuduhan itu tidak sah kerana Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mempunyai kuasa sebagai Peguam Negara pada 12 Oktober tahun lalu.

Pada masa sama, Khairuddin memfailkan dokumen mahkamah memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengetepikan keputusan Peguam Negara pada 26 Januari lalu apabila mengumumkan tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan dengan tiga kertas siasatan yang dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu juga mendakwa Peguam Negara sebelum ini Tan Sri Abdul Gani Patail mungkin disingkirkan daripada jawatannya oleh tribunal atau di bawah Artikel 145 (5) Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam perbicaraan pada 18 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Khairuddin dan peguamnya Matthias Chang tidak boleh didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 kerana cuba mensabotaj perbankan dan kewangan negara.


Khairuddin Abu Hassan

Artikel Lain