suria

USM Guna Bahan Asli Hasilkan Krim Penyembuh Luka

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Amin Malik Shah Abdul Majid (dua,kiri) bersama pasukan penyelidiknya menunjukkan pingat emas yang dimenangi semasa Ekspo Penyelidikan dan Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2015 Disember lalu, pada sidang media, Rabu.

GEORGE TOWN: Sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan produk krim untuk penyembuhan luka menggunakan bahan asli.

Ketua Penyelidiknya Prof Dr Amin Malik Shah Abdul Majid berkata krim yang diberi nama 'Mu-Derm' itu diperbuat daripada estrak lendir ikan haruan, lebah lilin dan kelapa dara yang dapat mempercepatkan penyembuhan luka pada badan manusia lebih pantas daripada krim sedia ada.

"Krim Mu-Derm ini kesannya lebih pantas untuk penyembuhan. Ia 50 peratus lebih cepat sembuh berbanding krim yang sedia ada. 

"Mu-Derm, yang mengandungi ekstrak lendir ikan haruan boleh menggalakkan angiogenesis - satu proses semula jadi dalam tubuh manusia yang menyembuhkan luka dengan membangunkan saluran darah baharu," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata produk yang dihasilkan tersebut tidak menggunakan bahan pengawet tiruan.

Katanya terdapat syarikat tempatan yang telah menyatakan minat untuk memasarkan krim Mu-Derm ini di pasaran.

Dr Amin berkata krim Mu-Derm itu turut memenangi pingat emas dalam Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 hingga 6 Disember tahun lepas.-- Bernama

Artikel Lain