suria

Virus Zika: Malaysia Sedia Hadapi Sebarang Kemungkinan

PUTRAJAYA: Malaysia telah mengambil langkah kesiapsiagaandalam menghadapi sebarang kemungkinan penularan jangkitan virus Zika di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

"Kita mempunyai kemudahan dan keupayaan untuk mendiagnosis virus Zika. Ia adalah rawatan simptomatik. Itu bukan masalah besar," katanya pada sidang media di sini pada Rabu.

Antara langkah kesiapsiagaan membendung penularan virus Zika ialah dengan mewujudkan sistem pemantauan dan pengurusan lebih berkesan di klinik kesihatan dan hospital termasuk mewujudkan pengawasan klinikal untuk kes Zika, pengawasan makmal untuk virus Zika dan pengawasan 'Microcephaly', katanya. 

Dr Subramaniam berkata tiada kes virus Zika dilaporkan dalam negara berdasarkan pengawasan berterusan yang dilakukan kementerian.

"Sehingga semalam, sebanyak 293 sampel darah daripada pesakit yang menunjukkan gejala denggi, tetapi ujian denggi negatif...ia juga diuji untuk mengesan virus Zika. Semua keputusan adalah negatif (Zika)," katanya.

Dr Subramaniam menasihatkan rakyat Malaysia khususnya wanita mengandung agar menangguhkan perjalanan ke 26 negara yang melaporkan jangkitan virus Zika sebagai langkah berjaga-jaga mencegah penularan jangkitan virus itu.

Negara itu adalah Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Costa Rica, Curacao,Republik Dominican, Ecuador, El Salvadir, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala,Guyana, Haiti, Honduras, Jamaica, Martinique, Mexico, Nicaragua, Panama,Paraguay, Puerto Rico, Saint Marti, Suriname, US Virgin Islands dan Venezuela.

"Walaupun WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) tidak mengeluarkan sekatan perjalanan ke negara-negara tersebut tetapi kami mengambil langkah berjaga-jaga dengan menasihatkan rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke negara yang disenaraikan.

"Jika terpaksa melakukan perjalanan, mereka perlu mengambil langkah-langkah pencegahan daripada digigit nyamuk Aedes dan dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan berhampiran sekiranya menghidap gejala dan tanda-tanda seperti demam,sakit badan, ruam dan konjuktivitis setelah kembali," katanya.

Beliau berkata virus Zika boleh menyebabkan 'Microcephaly' yang menyebabkan kecacatan otak atau kepala kekal dan mempengaruhi kualiti hidup bayi sehingga dewasa.   

"Bagaimanapun, kita tidak mempunyai ubat untuk membendungnya," kata beliau.-Bernama

Virus Zika

Artikel Lain