MARANG: Polis percaya ada individu melindungi banduan yang meloloskan diri daripada penjara Marang lebih seminggu lalu. Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata adalah mustahil dalam tempoh yang agak panjang itu banduan tersebut masih boleh meneruskan kehidupan tanpa pertolongan individu lain. "Dari mana dia dapatkan bekalan wang, makanan dan minuman untuk teruskan hidup ...jadi kita percaya ada individu yang cuba melindungi dan bersubahat dengan banduan tersebut," katanya kepada pemberita, di sini Khamis. Rosli mengingatkan orang ramai agar tidak melindungi dan bersubahat dengan banduan itu kerana boleh didakwa di bawah Seksyen 216 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. Dalam kejadian pada 24 Januari lalu, banduan berkenaan, Mohd Nazri Mat Nasir menggunakan helah untuk ke tandas sebelum meloloskan diri ketika sedang mengikuti kelas agama. Rosli berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan banduan yang berasal dari Kampung Paya Resak, Marang masih berada di sekitar daerah Dungun atau Setiu dan polis sedang giat memburunya. - BERNAMA