suria

Levi: Bayaran Baharui PLKS Ditangguh Sementara – KP Imigresen

Sakib Kusmi.

PETALING JAYA: Pembayaran bagi permohonan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pekerja asing ditangguhkan sementara sehingga 15 Februari ini berikutan kadar baharu levi yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini. 

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baharu, Datuk Sakib Kusmi berkata, penangguhan tersebut disebabkan oleh beberapa perkara teknikal berkaitan yang perlu diselesaikan oleh jabatan itu bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurut Sakib, permohonan memperbaharui PLKS secara dalam talian dan di kaunter itu hanya melibatkan sektor pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian, tidak termasuk sektor pembantu rumah. 

“Kita tangguh pembayaran (pembaharuan PLKS) sementara. Pihak KDN dan Jabatan Imigresen menyelesaikan perkara-perkara teknikal seperti pengubahsuaian sistem imigresen untuk menerima kadar baharu.

“Majikan dinasihatkan supaya memperbaharui permit kerja mengikut tarikh yang ditetapkan supaya tidak berlaku isu tinggal lebih masa pekerja mereka,” katanya kepada mStar Online menerusi aplikasi WhatsApp pada Khamis.

Sakib bagaimanapun menegaskan bahawa pembaharuan permit untuk pekerja asing itu hanya ditangguhkan dan bukan dibekukan.

“Kita tak bekukan, kita cuma tanggguhkan. Majikan kena buat pembaharuan permit sebelum tamat tempoh, kalau tidak... pekerja akan dianggap tinggal lebih masa.

“Walaupun bayaran ditangguh tetapi pembaharuan permit tidak boleh ditangguh,” katanya sambil menambah majikan yang memperbaharui PLKS dalam tempoh penangguhan ini akan diberikan akuan penerimaan (AP) dan pas khas turut akan dikeluarkan sekiranya perlu. 

Pas khas merupakan dokumen yang membolehkan pekerja asing ‘tinggal lebih masa’ untuk berada di negara ini sehingga 30 hari di atas sebab-sebab dibenarkan, manakala AP adalah dokumen gantian sementara menunggu pelekat PLKS baharu. 

Dilaporkan kadar baharu levi itu berkuat kuasa mulai 1 Februari lalu dengan pekerja asing dipecahkan kepada dua kategori, pertama adalah dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan dengan setiap pekerja akan dikenakan kadar baharu RM2,500. 

Sementara itu, pekerja di sektor ladang dan pertanian terletak di bawah kategori kedua dengan kadar RM1,500 bagi setiap pekerja.

Sakib Kusmi, Jabatan Imigresen, levi, PLKS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain