Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rancangan ini dibuat bukan disebabkan kelemahan ringgit, sebaliknya satu tindakan wajar selaras usaha yang sedang dibuat untuk menggalakkan pelajar antarabangsa mendaftar di universiti dan kolej di Malaysia.
Katanya, selaras dengan universiti milik Mara yang akan dibuka pada Jun ini, beliau berkata rancangan itu dilihat mampu dilaksanakan kerana terdapat tempat yang mencukupi kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
Kampus UniMara terletak di Bukit Jalil dan pengambilan pertama dijangka menyaksikan kira-kira 1,000 pelajar mendaftar untuk pelbagai kursus.
Menteri itu berkata kertas kerja perlu dibuat dan dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapatkan kelulusan.
Ismail Sabri berkata salah satu pilihan yang sedang diteliti adalah untuk melibatkan diri dalam program berkembar bersama universiti terkemuka luar negara bagi mengurangkan perbelanjaan Mara.
"Kerajaan sedang berusaha keras untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan dan menggalakkan pelajar meneruskan pengajian mereka di sini. Adalah tidak wajar jika kita menghantar pelajar-pelajar kita sendiri ke luar negara," katanya.
Ismail Sabri memberi jaminan bahawa mereka yang sedang mengikuti kursus-kursus tajaan Mara dapat meneruskan pengajian mereka atau terus mendapat pinjaman.
Mara memperuntukkan kira-kira RM2 bilion setahun dalam bentuk tajaan, geran dan pinjaman pelajaran, di mana RM1.2 bilion telah disediakan untuk pelajar di universiti tempatan, kolej dan institusi dan baki RM800 juta untuk pelajar luar negara.