suria

Yak Chee Yew Tarik Balik Permohonan Pelepasan Dana Yang Dibekukan Dalam Siasatan 1MDB

SINGAPURA: Berlaku satu kejutan apabila pegawai bank kanan peribadi, Yak Chee Yew pada Jumaat, memfailkan permohonan menarik balik permintaannya kepada Mahkamah Tinggi Singapura untuk melepaskan kira-kira S$10 juta (RM29.58 juta) wang di dalam akaun banknya yang dibekukan oleh pihak berkuasa di sini sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan 1MDB.

Ini adalah kes undang-undang pertama yang timbul daripada siasatan kerajaan Singapura ke atas dana yang mungkin mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Yak, pegawai bank di unit tempatan bank Swiss BSI, tidak hadir pada pendengaran Jumaat. Beliau sebelum ini telah memohon pelepasan dana untuk membayar cukai dan yuran undang-undang serta untuk perbelanjaan asas.

Walau bagaimanapun, di Mahkamah Tinggi pada pagi Jumaat, peguamnya, Roderick Martin of Martin & Partners berkata anak guamnya mempunyai dana yang mencukupi dalam akaun bank asing untuk membayar cukai dan yuran guamannya.

Martin meminta Timbalan Pendakwa Raya Leong Weng Tat memberi jaminan bahawa dana berjumlah sekitar S$1.7 juta(RM5.03 juta) dalam Industrial and Commercial Bank of China (ICBC), tidak akan disita jika anak guamnya menarik balik permohonan pembayaran ke Singapura.

Leong berkata Yak perlu membuat permintaan itu sebelum membuat permohonan, dan menjimatkan masa semua orang.

Sama ada wang itu dikembalikan ke Singapura atau tidak, beliau yang akan membuat keputusan, kata Timbalan Pendakwa Raya.

Martin kemudian meminta permohonan itu ditarik balik.

Menurut laporan, Yak merupakan pengurus hubungan untuk 1MDB Global Investments, Aabar Investment PJS dan SRC International, dan juga untuk Low Taek Jho.

Low, yang juga dikenali sebagai Jho Low, adalah ahli perniagaan Malaysia. Dia dilaporkan telah dipanggil untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara berkaitan siasatan 1MDB.

Pihak berkuasa Singapura pada Isnin berkata mereka telah menyita 'sejumlah besar' akaun bank yang kemungkinan terbabit dengan pengubahan wang haram dan kesalahan lain berkaitan salah urus kewangan yang didakwa berlaku dalam 1MDB.

Dokumen-dokumen mahkamah yang difailkan oleh Timbalan Pendakwa Raya bagi membantah permohonan terdahulu Yak yang dikeluarkan pagi Jumaat, berkata pegawai bank itu telah gagal mendedahkan fakta penting berkaitan dengan kewangan yang ada padanya:

 - Selepas Yak diberikan cuti tanpa gaji pada Mei 2015 manakala siasatan sedang dijalankan oleh majikannya, BSI Bank, dan sebelum 12 akaunnya disita pada September 2015, dia telah membuat pemindahan mengejutkan sejumlah S$5.7 juta (RM16.86 juta) ke akaun bank asing itu".

- Dari Oktober 2015 dan seterusnya, dia telah juga mengatur gajinya - lebih dari S$80,000 (RM236,655) setiap bulan untuk dibayar melalui cek, di mana dia telah berjaya memasukkannya ke dalam akaun bank lain.

- Dengan bukti daripada Mr Yak sendiri, dia mendapat lebih dari S$27juta (RM79.87 juta) gaji dan bonus sejak 4 tahun lalu, dengan S$8 juta (RM23.67juta) yang perlu dibayar kepadanya. Sebaliknya, CAD hanya membekukan akaun bank dengan dana berjumlah kira-kira S$9.71 juta (RM40.23 juta), dengan jumlah mengejutkan S$9 juta (RM37.29 juta) belum ditemui".

Jabatan Hal Ehwal Komersial dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura telah menyiasat kemungkinan kesalahan berkaitan dengan 1MDB sejak pertengahan tahun lepas.

Singapura sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan, termasuk di Malaysia, Switzerland dan Amerika Syarikat. -   The Straits Times/Asia News Network
1MDB, Yak Chee Yew

Artikel Lain