KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi bahawa kerajaan sentiasa mendahulukan rakyat dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Beliau berkata hakikatnya, ini dapat dilihat daripada usaha kerajaan mengadakan rundingan supaya agenda Bumiputra dimasukkan dalam TPPA, dan ia berjaya berbuat demikian. "Ia sekarang bukan sahaja diiktiraf di peringkat nasional - ia diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dilindungi. Ini menunjukkan bahawa Malaysia telah memperjuangkan dan memperoleh manfaat besar buat rakyat. "Kita komited untuk melindungi kepentingan dan hak kedaulatan rakyat kita, dan membantu mereka untuk menjadi lebih kuat dalam apa yang disifatkan sebagai ekonomi global saling berkaitan," kata Najib dalam blog beliau NajibRazak.com. Perdana Menteri berkata kerajaan telah mengambil pendekatan yang telus dan demokratik berhubung semua perkara yang berkaitan TPPA. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata perundingan demi perundingan diadakan dengan rakyat, pemegang utama kepentingan ekonomi, penggubal dasar dan pakar-pakar daripada pelbagai bidang menerusi fasa rundingan dan sebelum menandatangani TPPA. "Kita telah berunding dan menandatangani banyak perjanjian perdagangan serantau dan dua hala demi kepentingan ekonomi Malaysia dan rakyat. "Perjanjian-perjanjian ini memainkan peranan penting ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih kompetitif, membolehkan penyediaan perkhidmatan yang lebih besar, yang memberi manfaat kepada warganegara sebagai individu selain perniagaan - baik yang besar mahu pun yang kecil. TPPA tidak terkecuali," kata beliau. Bagaimanapun, Najib berkata ia bukan satu laluan yang mudah kerana pelbagai kritikan dilemparkan kepada kerajaan yang jelas bermotifkan politik dan dipenuhi emosi. Malaysia dan 11 negara lain memeterai TPPA di Auckland, New Zealand pada Khamis, yang bakal memperluaskan pasaran, mengurangkan tarif dan menggalakkan perdagangan bebas. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menandatangani perjanjian komprehensif abad ke-21 itu bagi pihak Malaysia yang mewakili hampir 40 peratus daripada produk keluaran dalam negara kasar global bernilai US$30 trilion. Dua belas negara berkenaan ialah New Zealand, Australia, Chile, Mexico, Jepun, Peru, Kanada, Vietnam, Amerika Syarikat, Singapura, Brunei dan Malaysia. - BERNAMA