PETALING JAYA: Abdul Razak Baginda perlu dihadapkan ke mahkamah di Perancis jika menerima habuan hasil urus niaga pembelian kapal selam, Scorpene kerana penganalisis politik itu tentu tidak akan didakwa di negara ini , kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Menerusi blognya chedet.cc pada Jumaat, bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan terhadap Abdul Razak perlu jika dia atau syarikatnya menerima wang daripada syarikat pembina kapal selam itu. "Tentunya Peguam Negara tidak akan mendakwa Abdul Razak kerana ia boleh mengaitkan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. "Malahan, Peguam Negara bukan saja mengetepikan (pertuduhan berkenaan) tetapi menyembunyikan laporan Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya. Dr Mahathir juga menulis, Abdul Razak dan syarikat dimiliknya sudah dinamakan dalam kes mahkamah berkaitan kapal selam Scorpene di Perancis. Bagaimanapun, media asing melaporkan, Abdul Razak mengakui telah menerima kira-kira 30 juta euro (RM137 juta) dan menolak dakwaan wang itu digunakan untuk tujuan rasuah. Sebaliknya, katanya kepada Financial Times, sejumlah wang itu digunakan untuk berunding mengenai tawaran Perancis, melobi dan pelaksanaan penyeliaan selama lapan tahun. Catatan blog Dr Mahathir juga menyebut, Abdul Razak adalah individu yang dilihat rapat dengan Najib dan pernah didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu pada Oktober 2006. Turut didakwa ialah Cif Inspektor Azilah Hadri, 40, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 44. Kedua-dua bekas anggota polis elit itu sudah disabitkan kesalahan membunuh dan dihukum mati, namun Sirul Azhar kini berada di Australia dan ditahan pihak berkuasa imigresen negara berkenaan. Kata Dr Mahathir lagi, Abdul Razak tidak mempunyai kuasa menentukan pembelian kerajaan, tetapi Najib sebagai Menteri Pertahanan boleh berbuat demikian. "Apa pun, jika Razak atau syarikatnya menerima wang daripada pembuat kapal selam (di Perancis), dia perlu diheret ke mahkamah Perancis," katanya. Menerusi pos sama, bekas perdana menteri itu juga mengecam Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang bertindak membersihkan nama Najib. "Untuk membersihkan nama baik Malaysia dan dirinya, Najib mesti membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa dia tidak bersalah atas semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya. "Kata-kata Peguam Negara bahawa dia (Najib) tidak bersalah, tidak membawa makna. "Jika gagal melakukan ini, Najib perlu meletak jawatan. Begitu juga pihak yang selama ini menggunakan kuasa masing-masing bagi menyelamatkan Najib," katanya.