LABUAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razakberkata, kerajaan bertindak mengawal outlet dalam perniagaan minuman keras, rokok dan kereta mewah di pulau bebas cukai Labuan dan Langkawi bagi membendung ketirisan pendapatan cukai. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan langkah kawalan seperti diumumkan dalam pembentangan pengubahsuaian Bajet 2016 baru-baru ini, kerugian kerajaan dalam bentuk cukai sebanyak RM1 bilion akan dapat dibendung. "Masalah ketirisan cukai RM1 bilion ini ialah kerana barangan dari Langkawi dan Labuan disalahgunakan, ini termasuk rokok, minuman keras dan kereta mewah. Saya tidak salahkan penduduk Labuan. Mungkin ada sindiket tertentu melakukan perkara ini. "Jadi kita akan ubah di mana yang boleh. Kita masih bagi status pulau bebas cukai, cuma kita kawal outletnya sahaja. Jadi outlet yang rekodnya baik, boleh kita bagi kemudahan ini," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan di Pasar Sentral Labuan di sini, Sabtu. Menurut Najib, dengan adanya langkah kawalan seperti itu, pendapatan cukai dan hasil negara akan bertambah dan membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak kemudahan kepada rakyat. Selain itu, katanya, langkah kerajaan mengambil pendatang asing tanpa izin untuk bekerja semula juga akan memberi hasil kepada kerajaan. -Bernama